AKU JUGA SAMA

FB_IMG_1549662847530

Aku pada tahun 2016. Aku rasakan hidup ketika ini sangat mencabar. Selang beberapa tahun sahaja selepas baru berkahwin dengan isteri. Allah izinkan kami tinggal di salah satu flat di ibu kota Kuala Lumpur. Kami belajar hidup secara berdikari sendiri. Maklum sahaja sebelum berkahwin, masing-masing tinggal bersama keluarga.

Serba tidak kena jadinya apabila tempat aku berniaga telah ditutup daripada beroperasi. Kawasan itu telah dibeli oleh pihak swasta. Aku dan isteri jadi tidak tentu arah. Kemana aku hendak mencari nafkah sesuap nasi tambah-tambah lagi kami dikurniakan rezeki lahir seorang putera kami. Banyak perbelanjaan keluarga yang perlu dikeluarkan setiap hari.

Kami berniaga 3 beranak

CUBA- CUBA

Satu hari, kami melihat pasangan 2 beradik iaitu Kak Maria dan Maliki berniaga betul-betul di depan flat kami. Aku menyuruh isteri membeli makanan yang dijual oleh mereka dan bertanyakan jika kami boleh menumpang mereka berniaga sekali. Isteriku pulang semula ke rumah dan memberitahu yang mereka memang mencari rakan peniaga.

Jadi malam itu juga, dengan berbekalkan sedikit duit simpanan yang masih tinggal, kami membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan. Kami merancang untuk menjual goreng pisang cheese yang sedang ‘viral’. Tanpa kelengkapan yang lengkap kami berjaya juga memulakan perniagaan tersebut walaupun terpaksa berhempas pulas.

Suasana semasa kami berniaga

TIDAK DIDUGA

Pernah satu hari, kami turun awal untuk berniaga. Kebetulan jiran sebelah kami cuti, jadi kami berniaga bersendirian. Baru memulakan perniagaan, langit tiba-tiba menjadi gelap. Dengan tidak semena-mena, hujan turun dengan sangat lebat. Guruh berdentum bagaikan langit hendak runtuh. Kami terpaksa bertahan di bawah kanopi kerana barang-barang meniaga sudah disusun.

Aku turunkan kanopi serendah-rendahnya dan kami pegang dari dalam supaya kanopi itu tidak terbang. Duduklah kami 3 beranak di bawah kanopi tersebut. Kuali yang tadi penuh minyak sudah dimasuki air hujan, pisang, meja dan barang-barang lain semua sudah berterabur. Kami hanya mampu menangis mengharapkan hujan lebat akan berhenti.

Ujian ribut yang kami hadapi

BERSERAH

Sambil mengesat air mata yang tumpah, aku cuba juga tenangkan isteri dan anak supaya mereka bersabar. Sayu aku melihat wajah anak yang waktu ketika itu langsung tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku. Dia hanya menangis tidak berhenti-henti kerana takut mendengar dentuman kilat.

Bila setiap kali aku kenangkan peristiwa ini kembali, pasti air mata aku akan menitis. Aku sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah telah berikan. Kerana aku percaya, bila kita bersyukur Allah pasti akan tambahkan lagi nikmat dan pemberian Nya. Walau dilapangan mana sekalipun aku berada, rezeki Allah itu pasti ada.

Al-fatihah buat mak Dayah yang telah pergi bertemu Ilahi. Duduk atas kerusi di sebelah kanan sekali.

BANGUN SEMULA

Aku percaya tentu ada mereka yang juga sedang bergelut dengan kehidupan masing-masing. Baru dibuang kerja atau berniaga bertahun-tahun tapi tiada peningkatan pada hasil jualan. Percayalah aku juga pernah berada di situasi yang sama. Aku sangat faham kerana aku pernah melalui fasa yang sama.

Apa yang pasti, kita harus sentiasa berjuang demi kelangsungan hidup pada masa akan datang. Jangan pernah berhenti berharap dan jangan sesekali beri ruang kepada diri sendiri untuk mengalah. Carilah sahabat, rakan-rakan dan ahli keluarga yang positif kerana mereka pasti akan memberi bantuan dari segi sokongan fizikal mahupun mental.

Jika peluang untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik terbentang didepan mata, jangan pernah sekali-kali lepaskannya. Gagal kerana mencuba lebih baik dari tidak melakukan apa-apa. Jatuh kali ketujuh itu biasa. Bangun buat kali kelapan? LUAR BIASA.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge