BAGAI HIDUP SEMULA

Jerit-perih-hidup

Borak-borak semasa berbuka puasa tadi, aku bercerita dengan seorang sahabat. Mula perbualan hanyalah sekadar cerita biasa sahaja. Masing-masing hanya ceritakan tentang perjalanan kisah hidup sebelum berada di platform sekarang. Seronok juga sekali sekala bercerita tentang kisah yang telah lalu.

Sambil makan nasi ayam dan bertemankan sebotol air kosong, aku mendengar sahaja kisah yang sedang beliau ceritakan. Bagaimana kesusahan dan kepayahan hidup yang telah beliau lalui sebelum mencipta kejayaan seperti yang telah dikecapi sekarang. Penuh bersemangat dan yakin dengan apa yang hendak disampaikan.

DIBUANG KERJA

Sampailah cerita tentang kehidupan selepas diberhentikan kerja satu ketika dulu, beliau terus terdiam. Aku terkejut namun aku biarkan sahaja beliau berada dalam emosinya sendiri. Aku dah mula perasan kelopak mata beliau mulai bergenang. Air mata beliau menitis mungkin kerana perasaan sebak yang mendalam.

Kehidupan waktu itu begitu susah. Semua yang dilakukan serba tak kena. Selepas tersenarai antara salah seorang yang bakal dibuang kerja, beliau pun redha walaupun harapan supaya dikekalkan masih menebal dalam diri namun keputusan muktamad telah dipersetujui ahli tertinggi dalam syarikat. Tiada siapa yang boleh melawan.

BERTAHAN WALAU TIDAK KUAT

Hiduplah di bandar kota mertopolitan berbekalkan beberapa keping not 100 ringgit yang masih ada. Mahu balik ke kampung tapi tak tahu mana hendak diletakkan muka. Berjumpa dengan ramai orang di jalanan telah membuatkan beliau bertemu dengan beberapa peluang perniagaan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Namun khabar tak seindah rupa. Semuanya itu hanyalah permainan sandiwara orang yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Beliau ditipu hidup-hidup tanpa sempat untuk merasa hasil pelaburan yang telah dibelanjakan. Habis semua duit yang ada tanpa tinggal walau satu ringgit pun. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang sedang ditanggung.

TEKANAN PERASAAN

Hingga disebabkan tekanan yang melampau, sampai satu ketika beliau tidak sedar yang sebenarnya sedang bercakap dengan tiang. Itupun mujur ditegur oleh orang yang berada di sekeliling. Allahu berat juga apabila mendengar cerita sebegini. Aku juga tak dapat bayangkan bagaimana situasi tersebut.

Satu saat yang ajaib. Dengan satu dongakan kepala kedepan, disaat nak berdiri sahaja dirasakan sudah tidak bermaya, tiba-tiba beliau mendengar nama dipanggil dari jauh. Kelihatan seorang sahabat lama beliau sedang melambai-lambai ke arah beliau. Lalu segera ke tempat sahabat tersebut dengan harapan yang lemah.

HANYA MAMPU MENGADU NASIB

Habis dibogelkan semua cerita tanpa ada rasa untuk berselindung. Sudah tidak tahu dengan siapa lagi hendak mengadu. Lalu sahabat tersebut membawa beliau ke rumah dan menenangkan beliau. Sahabat tersebut memberinya peluang untuk mencuba rezeki di platform dimana kami berada sekarang.

Lalu tanpa menoleh kebelakang lagi, beliau berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan peluang sebaik mungkin yang telah diberikan, untuk mengubah kehidupan yang beliau sedang lalui ketika itu. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberi oleh sahabat tadi, beliau tekun dan sabar melalui setiap proses pembelajaran.

HASIL KERJA KERAS

Alhamdulillah akhirnya kini beliau telah berjaya menjadi salah seorang antara yang terbaik dan salah seorang yang layak bergelar pejuang kehidupan. Berkat usaha beliau yang tidak pernah putus asa, walaupun pada satu tahap seakan hidup terasa bagai tidak bermakna lagi, tiba-tiba Allah SWT hantarkan insan terpilih untuk membantu beliau.

Tanpa sahabat beliau itu, mungkin beliau sendiri sudah tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan. Beliau sangat berterima kasih kerana telah membantu disaat-saat genting dan sangat mencemaskan dalam hidup. Kini mereka berdua antara yang paling berjaya dalam bidang yang sedang kami semua ceburi ini.

Pengalaman hidup lalu yang menjadikan siapa diri kita sekarang. Jalani proses yang mendewasakan itu dengan sabar dan redha.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge