BANDUAN AKHIR

Bacaan-quran

Helaian al-Quran itu aku selak satu-persatu. Berjujuran air mataku entah kali yang keberapa. Aku tak kuat lagi untuk membacanya. Bergegar jantungku mengenangkan apa yang bakal ku tempuhi sebentar lagi. Aku tak dapat menanggung penyesalan yang teramat sangat di dalam hati.

Inilah terakhir kalinya aku akan berada di tikar sejadah. Subuh nanti aku bakal dibawa kebilik akhir. Tempat dimana aku akan menerima balasan di atas perbuatanku. Allahu. Takutnya aku untuk menempuhi semuanya. Apa yang harus aku lakukan. Makan juga sudah tidak lalu. Minum apatah lagi. Naik turun naik turun aku menghela nafas.

SALAH PILIH KAWAN

Salah aku. Semuanya salah aku. Aku salah memilih kawan dalam pergaulan. Aku tidak berfikir panjang bila aku lakukan sesuatu perkara. Ku turuti segala kehendak nafsu serakah yang dahagakan kehidupan bebas dan tidak dikongkong. Aku lalai dalam perbuatan lalu terjerumus kedalam lembah najis dadah.

Mulanya hanya sekadar suka-suka. Darah muda yang sedang menggelegak, pantang jumpa sesuatu perkara yang baru tentu ingin dicuba. Bila sudah kehabisan wang, aku ambil keputusan untuk mengedarkannya pula. Dengan bermodalkan beberapa puluh ringgit sahaja bagi permulaan, aku mampu menjana sehingga beribu-ribu ringgit keuntungan sehari .

SEPANDAI TUPAI MELOMPAT

Nasib tidak menyebelahi. Sudah sering aku berjaya melepaskan diri daripada pihak berkuasa apabila diserbu dan digeledah. Namun kali ini aku tidak dapat mengelak lagi. Rupanya sahabat yang sering membantu aku setiap hari dalam proses penghasilan dan penjualan adalah mata-mata bagi pihak yang menjalankan operasi anti dadah.

Aku akhirnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman yang paling berat sekali akibat memiliki dan mengedar. Aku cuba untuk pertahankan diri di mahkamah tetapi semuanya sudah terlambat. Kesalahan ku terlampau besar sehingga aku kalah di pihak pembelaan. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana terbukti yang aku bersalah.

MAAFKAN AKU UMI

Terlihat kekecewaan di wajah umi. Tentu umi sangat terkejut dengan pekerjaan ku sebelum ini. Malunya aku pada umi kerana aku tidak berjaya menjadi seorang anak seperti yang beliau harapkan. Aku tak sanggup lagi melihat wajah umi yang sugul dan sayu. Aku betu-betul seorang anak yang tidak berguna. Ayah sudah tiada, kini aku pula bakal pergi.

Bagaimanalah perasaan ibu saat ini ya. Ya Allah. Aku tak kuat lagi untuk memikirkannya. Aku betul-betul seorang manusia yang tidak sedar diuntung. Sejak lahir umi dan arwah abah menaruh harapan yang tinggi kepada ku kerana aku adalah satu-satunya anak tunggal didalam keluarga. Aku rindu sentuhan dan belaian manja umi ku sayang.

PERMUDAHKANLAH

Buat kali terakhir ya Allah. Aku memohon agar kau ampunkan lah dosa-dosaku selama ini. Dosa yang mana sengaja ataupun tidak sengaja. Kau permudahkan lah pengakhiran hidupku sebentar lagi. Aku tak kuat ya Allah. Aku sangat menyesal dengan perbuatanku. Aku tak tau bagaimana lagi yang harus ku lakukan.

Allah. Pintu sel telah dibuka. Lemah kedua kaki ku ingin bangun. Aku tak terdaya untuk mengangkat diri ku sendiri. Jantungku bagai sudah tiada denyutannya. Berilah kekuatan untuk aku berjumpa sakaratul maut sebentar lagi. Ampunkan aku ya Allah. Tiada daya dan kuasa selain dari Mu. Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah selain Mu Ya Allah dan Nabi Muhammad itu persuruhMu Ya Allah.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge