BETUL DAH SEDIA NAK KAHWIN

Pasangan-berkahwin

Ada yang tanya aku tempoh hari, anak muda patut kahwin dulu ataupun beli rumah, kereta dan ada simpanan yang cukup baru boleh kahwin. Ramai orang akan berikan pendapat mereka masing-masing. Biasanya pendapat yang diutara berdasarkan pengalaman sendiri ataupun daripada kisah-kisah yang pernah diceritakan.

Aku juga ada kisah aku sendiri. Jadi aku bercerita berdasarkan daripada pengalaman aku. Pasti ada yang tidak setuju dengan apa yang aku ceritakan tapi inilah cerita yang sudah terjadi dan aku sendiri alami. Aku takkan boleh ubah apa yang sudah terjadi dalam sejarah hidup aku sendiri.

BIBIT PERKENALAN

Perkenalan aku dengan isteri pada tahun 2008 sewaktu aku baru habis Sijil Pelajaran Malaysia. Isteri pula muda setahun dan sedang bergelut dengan peperiksaan beliau sendiri. Hubungan kami bermula secara tidak sengaja apabila isteri tersalah dail nombor telefon dan meninggalkan satu panggilan tidak dijawab.

Lalu aku menelefon semula dan daripada situ kami bertukar nama profil media sosial yang sedang popular waktu ketika itu iaitu Myspace. Aku baru perasan yang isteri sebenarnya berkawan dengan seorang kenalan yang aku kenal bernama Ayu. Dengan bantuan Ayu kami dipertemukan buat kali pertama.

KAHWIN MUDA

Selepas berkenalan hampir 4 tahun, pada tahun 2012 kami mengambil keputusan bertunang disebabkan keluarga kedua belah pihak telah mengenali antara satu sama lain. Aku mula seperti tidak percaya kerana umurku pada waktu itu baru 22 tahun. Ramai sahabat-sahabat aku sendiri masih dalam bidang pengajian masing-masing.

Keluarga kami bersetuju mengikat tali pertunangan selama 2 tahun dan pada 2014, ketika aku berumur 24 tahun kami diijab kabulkan di kampung kelahiran isteri. Bila aku sah menjadi seorang suami, aku mula bertanya dalam hati betul kah keputusan aku untuk berkahwin ini sedangkan aku masih belum punya simpanan ataupun rumah sendiri.

DUGAAN MENIMPA

Namun dalam masa yang sama aku yakin jika kita berusaha membuat satu kebaikan pasti Allah akan permudahkan. Awal perkahwinan semuanya berjalan seperti yang kami rancangkan. Kami menjalani kehidupan ceria sebagai sepasang suami isteri yang bahagia. Lalu kami dikurniakan seorang cahaya mata dan diberikan rezeki tinggal menyewa di Bukit Jalil.

Bila berpindah ke Bukit Jalil, mula datang satu-satu dugaan yang menimpa. Hasil jualan ku sebagai seorang peniaga pasar malam tidak memberangsangkan seperti sebelum ini. Apa yang lebih memeranjatkan, tempat kami berniaga telah ditutup daripada beroperasi kerana tanahnya telah dijual kepada pemaju swasta.

CARI JALAN KELUAR

Lalu kami mengambil keputusan berniaga di bawah flat tempat kami tinggal. Hanya berpandukan hasil carian di laman Google, kami suami isteri belajar bagaimana untuk menjual pisang goreng keju yang pada ketika itu sedang digemari oleh semua orang. Hasil pendapatan daripada jualan itu cukup-cukup makan sahaja.

Paling menyedihkan apabila kereta kami hampir ditarik oleh pihak bank kerana sudah tiga bulan tidak dibayar. Mujur bantuan daripada keluarga mertua menyebabkan kereta itu tidak jadi dijual ke kedai kereta terpakai. Aku dan isteri tabah menghadapi setiap dugaan dan rintangan yang mendatang.

SOLAT TIANG AGAMA

Satu yang aku pegang selama kami berkahwin, walaupun aku dan isteri tidak punya kewangan yang kukuh pada awal perkahwinan dan kami sendiri telah diuji dengan pelbagai dugaan, namun kami tetap percaya yang kami melakukan perkara yang baik. Kami sentiasa berdoa Allah permudahkan urusan kami sentiasa.

Dalam masa yang sama, perkara yang paling penting kami terapkan dalam rumah tangga adalah solat. Walau dalam keadaan susah mahupun senang, sentiasa lah perbaiki solat yang lima waktu dan perbanyakkan solat-solat sunat yang lain. Insha Allah dengan menjaga solat, pasti Allah akan memberikan kelapangan dan memudahkan urusan dikala ditimpa musibah.

DAHULUKAN YANG BAIK

Solat adalah kunci segala-galanya. Dirikanlah tiang agama ini maka rumah tangga yang bakal dibina pasti akan kukuh terbina. Jika perkahwinan mampu menyelamatkan diri daripada melakukan lebih banyak kemungkaran, maka segerakanlah ia supaya sentiasa dijauhi daripada angkara syaitan yang direjam.

Jika betul masih belum bersedia mahu berkahwin, maka sentiasa jauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah SWT. Sentiasa beringat bahawa ditengah -tengah pasangan yang sedang dilamun asmara itu pasti ada watak ketiga yang sentiasa mahu menarik masuk bersama mereka ke dalam neraka Allah.

Semoga Allah SWT melindungi kita daripada sebarang bahaya dan bala bencana. Amin ya rabbal aalamin.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge