BUAT APA DISURUH, TINGGAL APA DILARANG

Jauhi-segala-perkara-yang-tidak-baik

Anak-anak babah, janganlah sekali-kali kalian mendekatkan diri dengan perkara yang boleh merosakkan tubuh badan. Nikmat kesihatan yang telah Allah berikan itu sebenarnya adalah amanah yang tidak ternilai yang langsung tidak boleh dibeli dengan wang ringgit mahupun harta benda.

Kalian sendiri harus bertanggung jawab dengan apa yang kalian lakukan. Jika sesuatu perkara itu bagus serta baik, maka beruntunglah dengan hasil yang diperolehi dan jika sesuatu perkara buruk dan membinasakan maka pasti ianya akan memudaratkan masa depan yang kalian impikan.

JANGAN TERSILAP LANGKAH

Satu hari nanti, bila kalian rasa dunia ini sangat luas dan banyak perkara yang belum diteroka, maka pada waktu itu berhati-hatilah dalam setiap langkah perjalanan yang dilalui. Akan hadir anasir-anasir luar yang cuba untuk memesongkan akidah dan iman yang telah kalian pelihara.

Parasit ini tidak akan cepat mengaku kalah dan berputus asa dalam memalingkan muka kalian dari jalan kebenaran. Apa sahaja cara, selok belok sukar pasti mereka akan datang mendapatkan kalian. Jika tidak dari depan, mereka mencelah dari bahagian belakang. Jika tidak boleh dari bawah, mereka akan datang dari atas.

BERPESAN-PESAN PADA KEBENARAN

Bila tiba waktu itu, kalian adik beradik mestilah saling mengingati antara satu sama lain. Jangan pernah biarkan salah seorang daripada kalian hanyut dibawa arus kebinasaan. Berpeganglah pada kebenaran dan jangah sesekali terpengaruh dengan dakyah yang memesongkan dan melalaikan itu.

Sentiasa bersatu melawan segala bentuk ancaman dan bahaya yang menimpa. Andai salah seorang daripada kalian berasa lemah dan berputus asa, maka ingatlah bahawasanya setiap perkara yang kalian lakukan akan ditanyakan di akhirat kelak. Waktu itu bukan mulut yang berbicara tapi amalan lah yang akan menjadi saksi.

ELAKKAN DARIPADA TERPENGARUH

Cabaran dan dugaan yang bakal kalian lalui mungkin tidak sama dengan apa yang babah hadapi sekarang. Boleh jadi ianya lebih berat untuk ditanggung disebabkan peredaran zaman yang berlaku. Lebih-lebih lagi dunia juga sebenarnya sudah pun berada hampir dengan penghujungnya.

Fitnah berleluasa dan semakin sukar untuk dibendung. Hedonisme menjadi pegangan yang popular dan dirasakan sudah sebati dalam jiwa manusia. Jangan, jangan, dan jangan sesekali tertipu dengan fahaman falsafah bahawa keseronokan merupakan matlamat hidup. Buruk akibatnya jika terjerat dengan amalan atau pandangan yang mengarut.

KUNCI UTAMA

Sentiasalah berpegang pada Al-Quran dan Sunnah yang telah ditinggalkan oleh baginda Rasulullah SAW. Nabi Muhammad telah berpesan bahawa sesungguhnya manusia itu tidak akan sekali-kali tersesat jika sentiasa berpegang pada jalan kebenaran. Dirikanlah tiang agama yang kukuh yakni menjaga solat lima waktu sehari semalam.

Selagi hayat babah dikandung badan, babah akan bersama-sama dengan kalian menempuh segala dugaan dan cabaran yang mendatang. Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua bertemu semula di syurga Firdausi nanti dalam keadaan kita berkasih sayang dan bermesra antara satu sama lain.

Maka beruntunglah sesiapa yang beramal, bertaqwa dan sentiasa bersabar dalam menempuhi ujian.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge