BUKAN DISINI PASTI DISANA

Kelajuan

Aku perhatikan kereta yang lalu lalang didepan. Semuanya bergerak dengan laju dan pantas. Betul lah kata orang bila tinggal di bandar ini kita kena sentiasa cepat. Pergi kerja kena cepat. Bawa motorsikal kena cepat. Jalan kaki pun nak kena cepat juga. Semua tak mahu mengalah.

Bila lambat mesti kita akan ketinggalan. Aku selalu perhatikan kisah-kisah kejayaan orang lain. Bagaimana cara mereka mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dengan begitu cepat sekali. Sampaikan aku terfikir macam mana kehidupan mereka boleh berubah dalam sekelip mata.

RESIPI RAHSIA

Aku sentiasa terdetik dalam hati, memang satu keajaiban di luar sangkaan sebenarnya, anugerah rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada hambaNya. Aku pernah bertanya dengan seorang pengurus pasukan di sebuah organisasi jualan, apa sebenarnya rahsia yang membuatkan seseorang itu boleh mencapai kejayaan dalam hidup mereka?

Jawapan beliau ringkas sahaja. Semua orang ingin berjaya dalam hidup, tetapi perhatikan balik diri sendiri apa tindakan yang telah kita lakukan untuk mencapai sesuatu kejayaan itu. Berjaya semua orang nak berjaya, tapi hanya diri sendiri yang tahu setakat mana usaha yang dilakukan untuk menggapainya.

MAINAN MINDA

Kata beliau lagi, untuk mencipta satu-satu kejayaan itu kita mestilah letakkan sasaran ataupun ‘target’ apa sahaja impian yang kita ingin capai. Bila membuat sesuatu perkara berpandukan sasaran tersebut, barulah datangnya ‘mindset’ yang akan sentiasa mengawasi apa sahaja gerak kerja yang dilakukan.

Mindset inilah yang akan membuatkan kita bersyukur dengan kejayaan-kejayaan kecil yang kita peroleh dan akan membuatkan kita bersabar apabila satu-satu ujian datang melanda. Apabila kekuatan minda ini kita telah berjaya kawal, secara automatik ianya akan menjadikan kita seorang yang berdisiplin dalam melakukan pekerjaan.

TINGKAT KEUPAYAAN

Bila semua perkara positif dah meresap dalam diri, waktu itu tiada seorang pun yang boleh menyekat kita daripada menggenggam impian yang di idam-idam kan. Apa sahaja cabaran baru yang datang, pasti akan di hadap dengan tenang dan sabar. Ciri-ciri beginilah yang ada pada mereka yang telah berjaya sejak daripada dulu lagi.

Mereka sentiasa perbaiki diri dari semasa ke semasa bagi meningkatkan nilai dan jati diri supaya sentiasa bersedia dan tangkas. Perkara yang paling penting sebenarnya ialah kita hendaklah sentiasa belajar dan terus belajar. Ilmu Allah itu tidak akan pernah habis walau hingga ke hembusan nafas yang terakhir.

SENTIASA BERUSAHA

Kejayaan itu tidak datang sendiri jika tiada usaha untuk menuntut ilmu. Berdampinglah dengan orang-orang yang telah pun berjaya dalam bidang mereka. Pasti mereka sedia membantu memberi panduan dan penunjuk arah apa yang harus dilakukan. Jika sampai satu masa impian yang kita ingin capai itu terasa sukar untuk dilaksanakan, cuba lihat kembali apa usaha yang telah dilakukan.

Allah itu Maha Menilai lagi Maha Mengasihani. Pasti kita akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan. Hanya diri sendiri yang tahu seberapa kuat usaha yang dilakukan. Kejayaan takkan pernah menipu. Jika bukan rezeki di dunia, pasti Allah akan kurniakan ganjaran syurga yang terhebat di akhirat kelak. Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge