HADIAH BUAT CIKGU

Sekolah-dalam-hutan

Kerjaya sebagai seorang guru memang menjadi cita-citaku sejak kecil. Tiada perasaan yang boleh digambarkan apabila aku telah lulus dengan cemerlang dan dipilih untuk mengajar di kawasan pedalaman Sabah. Walaupun aku dihantar untuk mengajar jauh dari tempat asalku di Bukit Besar Kedah, tapi aku sangat gembira akhirnya cita-citaku tercapai.

Sepanjang aku berada di maktab perguruan, pelbagai ilmu yang telah dipelajari dan diteladani. Lebih-lebih lagi bagaimana untuk menjadi seorang tenaga pengajar yang cekap, berdisiplin, dedikasi dan disenangi oleh semua orang tak kira sama ada dengan pelajar atau dengan para guru yang lain. Semuanya aku sematkan didalam dada supaya menjadi bekal buat diriku sepanjang karier.

SUASANA SEKOLAH

Aku sangat selesa dengan suasana dan kawasan sekolah tempatku bertugas. Terasa satu kedamaian dan ketenangan apabila berada jauh dalam kawasan yang dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan hijau dan pokok bakau yang rata-ratanya sudah berusia ratusan tahun. Tiada perkataan yang mampu diucapkan apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan yang sungguh menakjubkan.

Murid-murid juga sangat baik, berdisiplin dan sangat beradab dengan guru-guru mereka. Penghormatan yang diberikan terhadap guru disini sungguh luar biasa. Setiap pelajar di sekolah ini betul-betul menghargai dan memberi tumpuan penuh dengan pelajaran yang diberikan. Tanpa ada rasa sedikitpun mengeluh, mereka tekun untuk mempelajari setiap ilmu yang diberikan.

SAMBUTAN HARI GURU

Hari ini adalah hari guru. Hari di mana kami para guru diraikan. Meriah sungguh sambutan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ada murid yang mendedikasikan sajak yang dikarang sendiri oleh mereka tak kurang juga yang menyanyikan lagu-lagu semangat khas buat kami. Namun ada sesuatu yang sangat pelik dengan seorang muridku ini.

Beliau bukanlah seorang pelajar yang boleh digelar sebagai ‘best student’ di dalam kelas. Tetapi satu yang aku perasan, beliau sangat rajin membuat kerja sekolah yang sering kuberi dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Sebagai guru adalah menjadi tanggung jawabku untuk membantu beliau. Lalu dengan usaha beliau yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas.

HADIAH MISTERI

Jadi sempena hari guru, beliau telah memberikanku hadiah tanda berterima kasih. Kemas hadiah tersebut dibalut dengan kertas surat khabar. Lalu aku simpan di tepi kerana ada banyak lagi hadiah yang diberikan oleh murid-murid yang lain. Beliau pun pergi mendapatkan kawan-kawannya yang lain dengan muka yang puas kerana telah memberikan hadiah kepadaku.

Pulang kerumah aku buka satu-satu hadiah yang telah diberikan oleh murid-muridku tadi. Aku sangat gembira bila mendapat begitu banyak hadiah. Apabila semua hadiah sudah dibuka, baru aku perasan ada satu lagi hadiah yang masih berbungkus dengan surat khabar. Lalu aku membuka hadiah tersebut dan melihat ada seikat sayur didalamnya.

TIADA NILAI

Aku mulai pelik dengan hadiah sayur yang diberikan namun aku perasan ada sekeping nota bertulis di celah sayur tersebut. ‘Cikgu, saya nak ucapkan terima kasih kat cikgu sebab selama ini cikgu banyak ajar saya sampai saya pandai. Saya gembira sangat sebab cikgu sangat ambil berat pasal saya. Jadi terimalah hadiah saya yang tidak seberapa ini dari saya. Maafkan saya sebab tak dapat nak beri cikgu hadiah yang cantik-cantik. Saya tak mampu sebab saya anak yatim. Sayur ni saya tanam sendiri di kebun dan saya harap cikgu suka dengan hadiah ini ya. Cikgu masak sedap-sedap ya.’

Allahu. Berjujuran air mata ku membaca nota tersebut. Sungguh, inilah hadiah yang paling bermakna pernah aku dapat dalam hidup. Begitu tinggi nilai hadiah yang diberikan oleh anak muridku ini. Aku terkesima dan menangis tidak henti-henti. Tak boleh nak digambarkan bagaimana perasaan yang aku rasai ketika ini. Dadaku begitu sebak terasa.

DOA BUATMU

Cikgu doakan semoga kamu menjadi insan yang berguna untuk masyarakat ya sayang. Semoga membesar menjadi anak yang baik, soleh dan berbakti kepada agama dan bangsa. Sungguh murni hati mu duhai anak. Insha Allah selagi hayat di kandung badan, cikgu akan sentiasa membimbing kamu ke jalan yang diredhai oleh Allah. Cikgu akan sentiasa ada disisimu sayang.

Ya Allah, ampunkan lah hamba Mu ini kerana ada kalanya lalai dan tidak bersyukur dengan setiap pemberianmu. Hanya Engkaulah tempat kami memohon ampun dan perlindungan.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge