KENANGAN DI PUDU RAYA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lama tak menjejakkan kaki ke Puduraya. Semalam ada urusan tentang perumahan yang harus diselesaikan. Aku perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara atas beberapa perkara yang perlu di buat pengesahan. Awalnya bercadang nak terus ke Putrajaya sahaja tapi disebabkan malas nak berjalan jauh, aku ambil keputusan pergi tempat yang dekat dengan rumah.

Rindu pula suasana dulu-dulu. Zaman kemeriahan Puduraya sebagai salah satu perhentian bas paling penting yang ada di ibu kota. Aku sempat merasai pengalaman hirup-pikuk di tengah ribuan manusia yang bersesak-sesak mahu menempah atau membeli tiket bas untuk ke luar negeri atau pulang ke kampung halaman.

SEKOLAH DI KEDAH

Dulu aku adalah seorang pelajar sekolah agama berasrama di negeri Kedah. Jadi aku pasti akan ke Puduraya untuk mendapatkan bas ekspres jika aku telah habis cuti sekolah atau cuti semester. Sebelum subuh aku dah sampai ke perhentian bas sebab bas biasanya jalan pagi-pagi.

Senang sebenarnya bila naik bas pagi ini sebab perjalanan untuk sampai ke hentian Shahab Perdana di Kedah ambil masa lebih kurang enam hingga tujuh jam. Jadi sampai di Alor Setar lebih kurang pukul 3 petang. Dari Shahab ke asrama di Kota Sarang Semut pula ambil masa lebih kurang sejam lebih. Sampai diasrama dalam waktu petang dan boleh terus rehat.

PEMANDANGAN CANTIK YANG TELAH HILANG

Tapi bila nak pulang ke Kuala Lumpur, masa perjalanan tu akan terbalik pula. Aku suka naik bas petang dan kemudian sampai di KL tengah malam dalam pukul 10 atau 11. Bila dalam perjalanan nak sampai tu mesti dah terbayang suasana meriah Kuala Lumpur di waktu malam. Hati jadi tak sabar-sabar nak sampai rumah.

Ada satu momen di tengah lebuh raya sebelum sampai ke tol Duta, akan ada satu pemandangan yang sangat cantik. Di celah-celah bukit, akan terlihat menara berkembar Petronas betul-betul di bahagian tengah. Bila nampak je menara KLCC itu bermakna dah nak sampai KL dah.

SUASANA KEMERIAHAN

Siapa yang memang asal membesar di Kuala Lumpur mesti akan rasa perasaan yang sama juga. Pemandangan tu memang sangat cantik tapi sayang sekarang dah tak nampak sebab ditutup dengan bangunan-bangunan lain. Tapi laluan celah bukit tu masih ada lagi cuma tak nampak KLCC dah.

Masa tu Puduraya memang akan sesak walaupun dah tengah malam. Kalau ayah aku datang lambat aku akan jalan-jalan di sekitar Puduraya sambil menyaksikan ragam manusia. Ada yang seharian menunggu bas tapi ditipu ulat tiket. Ada yang tidur di kaki lima di sepanjang laluan pejalan kaki.

SEJARAH ABADI

Tapi sekarang suasana tu dah takde dah. Aku pergi semalam, sunyi je Puduraya tak macam dulu. Bila lalu di laluan tangga dalam tu teringat masa tunggu bas sampai tertidur. Semuanya hanya tinggal sejarah. Rasa macam nak patah balik je masa dan melihat semula kemeriahan suasana Puduraya macam dulu balik.

Semuanya tinggal kenangan dan memori yang tidak akan dilupakan. Sekurang-kurang aku pernah menjadi saksi bagaimana pentingnya dulu Puduraya kepada semua warga kota. Betapa meriahnya suasana waktu itu. Jauh disudut hati, aku rindu kemeriahan dan kenangan di Puduraya.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge