KITA PEJUANG

Pejuang

Aku orang bisnes. Setiap hari aku akan bertemu dengan bermacam-macam manusia. Pelbagai ragam dan karenah aku temui bila aku keluar rumah dan menjalani aktiviti harian. Kebanyakan mereka yang aku jumpa sangat mesra dan peramah serta selalu memberikan maklum balas yang baik kepadaku.

Aku seronok menjalani kehidupanku. Berpeluang berjumpa dengan ramai orang membuatkan lebih banyak cerita berbeza-beza yang aku alami setiap hari. Ada cerita yang membuatkan aku terasa hidup menjadi lebih bersyukur, dan adakalanya membuatkan aku berfikir kenapa dan bagaimana sesuatu perkara itu boleh terjadi.

ASAM GARAM

Namun, kehidupan sebagai orang bisnes bukanlah semuanya indah-indah belaka. Aku juga hidup sama seperti manusia normal yang lain. Ada kala perniagaan kita akan naik memuncak dan ada kala perniagaan kita akan jatuh menjunam. Itulah asam dan garam kehidupan seorang ahli bisnes.

Pasti kita akan berdepan dengan ‘rejection’ daripada pelanggan setiap hari. Bukan calang-calang juga halangan yang perlu didepani. Maki hamun, kata-kata kesat dan ketawa sinis membuat telinga bagaikan bernanah apabila terpaksa menelan setiap pahit hempedu yang datang menerjah.

KUAT CEKAL

Hati dan mental harus kuat berjuang. Benar, mereka yang berada di landasan bisnes adalah seorang pejuang. Orang bisnes adalah fighter sejati. Mereka tidak akan sekali-kali mengalah dengan apa sahaja cabaran yang harus mereka hadap. Seorang fighter sentiasa akan bangun kembali apabila mereka jatuh. Andai lapan kali mereka dijatuhkan, pasti mereka akan bangun buat kali ke sembilan.

Orang bisnes akan sentiasa belajar daripada kesilapan. Harus sentiasa belajar dan terus belajar dengan jurulatih yang terbaik. Tidak ada istilah malas dalam berusaha untuk menambah baik skil dan kecekapan. Sentiasa berdamping dengan guru-guru dan mentor untuk terus belajar dan belajar sampailah sesuatu yang diusahakan itu menjadi.

SYUKUR

Dan apabila orang bisnes telah menang, kita harus bersyukur dengan kurniaan yang telah Tuhan berikan. Harus diraikan kejayaan dengan bangga atas penat lelah, usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan. Tetapi selalu harus waspada. Sudah pasti akan ada cabaran yang lebih besar yang bakal ditempuh. Sentiasa persiapkan diri dan jangan pernah leka.

Orang bisnes akan terus menerus menambah pengalaman demi pengalaman. Kerana mereka tahu pengalamanlah yang akan mendewasakan mereka. Sentiasa sedar yang kita akan bertemu dengan next fight yang lebih besar lagi di masa hadapan. Hidup dan bisnes adalah cabaran. Kena bersedia berlatih menumbuk dan ditumbuk.

TERUSKAN LANGKAH

Waspada dan selalu beringat. Jangan sekali-kali leka walau sesaat dengan perjuangan yang berada di depan. Ada lebih banyak lagi tembok besar dan batu penghalang yang harus dipecahkan. Apa yang paling penting jangan pernah sekali-kali mengaku kalah dalam perjuangan. Harus cepat bangkit dan terus bangkit.

Aku tidak mahu menjadi seorang tukang sorak. Hanya duduk di tepi gelanggang dan bersorak. Aku tidak mahu menjadi penonton. Aku akan sentiasa berjuang dalam hidupku sehingga ke titisan darah yang terakhir. Aku hidup sebagai pejuang dan aku mati juga sebagai pejuang. Segala takdir, jiwa dan ragaku hanya pada Tuhan Yang Maha Esa. Hanya pada Nya aku berserah.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge