Bukan main mengantuk lagi aku rasa hari ini. Manakan tidak, daripada pagi sampai ke petang penuh dengan aktiviti yang harus diusahakan. Ada aktiviti yang melibatkan kepentingan untuk diri sendiri dan ada juga aktiviti yang melibatkan kepentingan orang lain. Bukan mudah sebenarnya mahu menguruskannya serentak, lebih-lebih lagi ini merupakan fasa terbaru yang harus aku lalui dalam lapangan kerjaya yang aku ceburi ketika ini.
Sekejap terjaga sekejap tertidur ketika mana aku sedang menyiapkan entri yang satu ini. Entah apa lah rupanya keadaan waktu aku sedang tidak sedarkan diri tadi. Aduhai, malunya. Harap-harap tidaklah terlampau ketara ataupun terlalu menonjol gaya yang aku persembahkan. Risau juga nanti ditularkan pula ke media sosial. Berharap juga tidak kedengaran bunyi-bunyi sumbang yang boleh mengganggu ketenteraman kafe tempat aku menjalankan kerja.
KITA HANYA MANUSIA BIASA YANG PENUH DENGAN KESILAPAN
Ada beberapa isi penting yang aku nak nukilkan ketika mana pertemuan dengan sahabat aku sebentar tadi. Aku melihat keadaan beliau sama seperti mana aku masa mula-mula menyertai pasukan jualan satu ketika dulu. Terlampau risaukan tentang sama ada boleh buat ataupun tidak boleh buat. Aku tahu betapa pentingnya penggunaan penapis air dan penapis udara di zaman sekarang namun tidak yakin adakah akan ada orang yang mahu membeli dengan aku.
Sejujurnya perasaan ini bukan sahaja dirasa ketika mana baru menyertai dahulu. Kalau ikutkan setiap kali lepas closing atau pun masuk bulan baru perasaan ini akan mula menjengah. Tiba-tiba rasa macam ada ke orang akan beli dengan aku nanti. Sebenarnya untuk pengetahuan, perasaan ini memang normal dihadapi oleh semua jurujual. Walaupun dia adalah seorang ejen jualan terbaik dan pernah memenangi banyak anugerah sekalipun, tidak akan lari daripada perasaan ini.
POKOK PANGKALNYA KEMBALI PADA YANG ASAS
Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mengawalnya supaya tidak mengganggu prestasi kerja kita. Jika dibiarkan, perasaan ini memang akan memudaratkan diri sendiri. Sebab apa? Sebab lama kelamaan ianya akan menyebabkan kita berhenti untuk melakukan apa-apa tindakan. Apa yang lebih parah, kita akan mula menyalahkan sekeliling ditambah lagi ketika mana jualan kita betul-betul merosot dan tidak mencapai sasaran yang diri sendiri tetapkan.
Paling penting kena faham satu perkara. Kut mana pun kita kembali kepada asas. Sebagai manusia kita hanya boleh mengusahakan yang terbaik sahaja, selebihnya Allah SWT yang menentukan rezeki yang kita peroleh. Andai jualan yang kita peroleh tidak sama seperti mana yang telah kita rancangkan walhal pagi petang siang malam menjalankan pelbagai aktiviti yang mendatangkan jualan, yakinlah bahawasanya perancangan Allah itu lebih baik.
MELAKUKAN SESUATU PERKARA BIAR DALAM KUMPULAN
Segera berjumpa dengan mentor ataupun pembimbing rakan niaga yang lain, minta pandangan kepada mereka bahagian mana yang harus diperbetulkan. Sebagai orang yang sedang dalam situasi tidak keruan, ada kala sukar mengenalpasti bahagian mana yang perlu diberikan sentuhan. Situasi itu lebih mudah dilhat pada mata mereka dan tentu juga ketika mana mereka dilanda situasi yang hampir lebih kurang, kita juga boleh berikan bantuan yang sama. Saling memerlukan antara satu dengan yang lain.
Jangan sekali-kali melakukan perkara secara bersendirian. Cari rakan-rakan yang terdekat dan duduk bersama-sama. Mengasingkan diri dan keluar daripada kelompok akan menyebabkan hati kita lebih mudah rapuh. Kita akan jadi kuat apabila kita bergerak seiringan. Syaitan akan lebih senang menjalankan kerja dakyah nya, menyesatkan manusia seperti mana yang telah mereka janjikan satu ketika dulu. Ini adalah musuh yang paling terang dan nyata.
YAKIN BAHAWASANYA REZEKI ALLAH ITU LUAS DAN TIDAK DISANGKA-SANGKA
Sentiasa perbaiki amalan sebagai seorang Islam yang baik. Jaga hubungan sesama manusia dan jaga hubungan dengan Tuhan. Tunaikan segala kewajipan dengan tertib dan tinggalkan segala larangan yang ditegah didalam agama. Nescaya hidup akan lebih rasa tenteram dan aman apabila sentiasa menjaga amalan-amalan ini sesempurna yang mungkin. Ada banyak pesanan yang selalu menjadi pegangan tetapi yang satu ini memang berbekas dalam hati.
Ketika mana kita rasakan hidup ini begitu sukar dan payah untuk ditempuh, hanya dengan memberi kita akan menerima dengan lebih baik. Contohnya, jika kereta kita hampir ditarik disebabkan sudah tiga bulan tidak dibayar, cuba gembirakan ibu dan bapa dengan belanja mereka makan dengan berbekalkan duit yang ada cukup-cukup ditangan walaupun selepas itu, duit tersebut habis terus. Percayalah, saat ketika mana kita yakin dengan memberi akan menerima yang lebih baik, pada masa itulah Allah SWT limpahkan rezekiNya pada jalan yang tidak disangka-sangka.
Insha Allah, dengan izinNya. Wallahualam.
Artikel menarik untuk anda:
PILIHAN ITU ADA DITANGAN
Sering kali ketika ingin membuat keputusan, pastinya kita akan terburu-buru melakukannya. Tapi pernah ke tersedar, bila melakukannya tanpa berfikir panjang, pasti akan…... Baca selanjutnya »
MELAKUKAN PERKARA YANG KITA SUKA
Acap kali soalan ini di tanyakan kepada diri. Kau tak rasa susah ke bila buat jualan? Bukan ke kalau kita berniaga ini,…... Baca selanjutnya »
KAU RASA AKU ADA MASA UNTUK SAKIT KEPALA
Saat aku sendiri tidak yakin pada kebolehan yang aku ada, masih ada yang menaruh harapan buat diri yang tidak punya apa-apa. Kepercayaan…... Baca selanjutnya »
MELAKUKAN PERKARA YANG ORANG LAIN TAK NAK BUAT
Entahlah. Kadang tu kita dah nampak sebenarnya apa yang boleh dicapai. Jalan tu memang dah terang lagi bersuluh lah orang kata. Boleh…... Baca selanjutnya »
MANA ANAK AKU
Turun naik nafas ku tidak berhenti. Degupan jantung terasa seolah-olah hendak keluar dari tubuh. Peluh menitis laju walaupun pendingin hawa di dalam…... Baca selanjutnya »
Reader Interactions