MUDAHNYA MENULIS DI ATAS TALIAN

Menulis-di-atas-talian

Ada yang bertanyakan kepada Sabri bagaimana Sabri boleh menulis dengan penulisan seperti yang Sabri buat sekarang di media sosial mahupun di blog Sabri sendiri. Adakah Sabri memang sudah lama menulis sebelum ini, atau pun pernah ada latar belakang daripada keluarga yang suka menulis. Susah ke nak menulis ini?

Sabri tetap dengan jawapan Sabri iaitu semua orang boleh menulis. Sebenarnya setiap daripada kita semua mampu untuk menulis dengan baik. Sebab apa? Sebab setiap hari yang kita lalui tentu saja perjalanannya tidak sama dengan hari-hari yang sudah lepas. Ceritanya akan berbeza-beza.

MENULIS DENGAN BERCERITA

Apa yang Sabri fahami, penulisan di atas talian ini tidaklah sama seperti penulisan sewaktu kita menjawab kertas peperiksaan satu ketika dulu. Perlu patuhi segala format hinggakan penggunaan huruf besar dan huruf kecil sahaja di ambil kira bagi mendapatkan markah yang terbaik.

Berbalik penulisan di alam maya ini, kita sebenarnya menulis lebih kepada menyatakan apa yang ingin kita luahkan yang terpendam dalam hati. Bercerita tentang apa sahaja kejadian yang telah, sedang ataupun bakal berlaku dalam hidup kita. Apa sahaja yang terlintas di fikiran langsung sahaja dinukilkan di telefon ataupun komputer riba ataupun apa sahaja peranti yang boleh digunakan.

PENGALAMAN MENULIS SECARA KONSISTEN

Penulisan juga perlukan latihan yang konsisten sama seperti jika kita melakukan sukan yang menjadi kegemaran. Jika dengan latihan yang dilakukan kerap kali boleh menjadikan kita sebagai seorang pemain bola sepak yang terbaik, penulisan yang dilakukan berulang-ulang kali juga akan membuatkannya semakin mudah diterima pembaca.

Pengalaman menulis satu posting atau satu artikel tentunya tidak sama selepas menulis sepuluh artikel. Pengalaman menulis sepuluh artikel tentu tidak sama dengan menulis seratus artikel. Pengalaman menulis seratus artikel tidak sama dengan menulis seribu artikel. Setuju dengan Sabri, betul tak?

TIPS MENULIS DENGAN MUDAH

Lebih banyak kita menulis setiap hari, lama-kelamaan kita akan mendapat rentak dan acuan cara penulisan kita sendiri. Waktu itu mungkin kita merasakan penulisan yang telah kita buat itu biasa sahaja, namun ianya memberikan impak dan kesan mendalam kepada sesiapa yang membaca atau sedang mengalaminya.

Tips untuk mendapatkan penulisan yang asli adalah kita menulis dengan cara yang sama seperti mana kita bertutur setiap hari. Andai diri sendiri rasa keliru tentang teknik ini, jangan khuatir. Boleh gunakan perakam suara yang sudah tersedia di gajet masing-masing. Rakam dulu percakapan atau apa sahaja yang ingin kita ceritakan, kemudian salin sahaja semula. Mudah bukan?

PENULISAN YANG MEMBERI MANFAAT

Lagi sekali Sabri nak tekankan tidak perlu format seperti penulisan di waktu sekolah. Hanya perlu jaga ejaan sahaja yang kadang kala tersilap tulis supaya tidak mengganggu emosi pembaca yang membaca artikel kita. Seeloknya tulis lah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain ataupun tips bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang kita semua alami setiap hari.

Itu sahaja perkongsian Sabri pada kali ini. Sabri juga sama seperti kalian masih belajar dan kita boleh sama-sama belajar bagaimana untuk memperbaiki lagi penulisan kita pada masa akan datang. Andai ada sebarang pertanyaan atau perkongsian ilmu boleh sahaja tinggalkan di ruangan komen. Dengan bertukar idea dan buah pendapat, tentunya dapat memantapkan lagi penulisan kita bersama di masa akan datang, insha Allah.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge