PENYULUH HIDUP

Terang

Pagi sampai ke petang aku habiskan masa di kelas. Walaupun hujung minggu, namun aku gagahkan juga meluangkan waktu untuk menimba ilmu pengetahuan. Betul lah kata orang berjaya. Ilmu itu harus sentiasa dipelajari dan diperbaharui agar dapat menambah nilai kualiti sebagai seorang khalifah di atas muka bumi.

Ilmu takkan pernah habis. Hingga sampai ke nafas yang terakhir sekalipun, kita perlu terus belajar dan belajar. Perbaiki diri dari semasa ke semasa supaya kita lebih mantap dan matang dalam menghadapi setiap cabaran di hari-hari yang mendatang. Semestinya juga tahap keyakinan diri semakin tinggi.

DIMANA-MANA

Setiap manusia pasti diberi peluang sama rata dan sama adil dalam usaha untuk menelaah ilmu pengetahuan. Bukan kah kita diberi masa 24 jam sehari sama seperti semua orang yang lain? Ada pelbagai medium yang boleh diguna pakai bagi memenuhi fleksibiliti dan kesesuaian dalam mempelajari ilmu.

Media sosial merupakan antara wadah terbaik yang boleh diperhalusi dalam usaha untuk memantapkan lagi skil dan teknik sebagai manusia berjaya. Rata-rata manusia tahun 2019 ini semuanya sudah memiliki telefon pintar yang boleh mengakses ke setiap jaringan rangkaian alam maya yang serba canggih.

EFEKTIF

Dalam masa yang sama, seminar juga merupakan antara platform terbaik yang boleh diguna pakai dari zaman dahulu hingga lah sekarang. Pendek kata tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Berinteraksi secara langsung dengan guru-guru yang terbaik di kalangan yang terbaik. Ini cara yang paling berkesan kerana lebih mudah menyesuaikan sesuatu ilmu itu dan cepat belajar.

Kerana, apabila kita bertemu muka secara berdepan dengan guru kita, setiap ajaran yang disampaikan akan cepat mendapat maklum balas. Segala persoalan yang bermain di fikiran dapat diutarakan terus kepada cikgu yang sedang mengajar di depan. Yang paling seronok adalah apabila guru kita sendiri sentiasa membimbing dalam setiap langkah perjalanan yang telah diatur.

BERUBAH

Hargai lah setiap usaha, tenaga dan pengorbanan yang telah kita dicurahkan. Apa yang paling penting, tindakan kita pada hari ini yang akan menentukan siapa yang kita ingin jadi pada masa akan datang. Peluang untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik dari semalam sentiasa terbentang lebar.

Pilihlah jalan yang sudah terang lagi bersuluh. Berada di platform dan landasan yang betul merupakan anugerah yang terindah yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Jangan pernah sekali-kali mensia-siakan amanah yang dipertanggung jawabkan. Kelak di akhirat kita pasti akan ditanya, pada perkara apakah umur kita telah dihabiskan semasa didunia?

Ketika itu bukan lidah yang memberikan jawapan lagi. Hanya amal dan taqwa yang akan dihitung.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge