PERGI TIDAK DIMINTA, HADIR TIDAK DIDUGA

menanti-sebuah-jawapan

Saya tak sangka, sanggup awak tunggu saya selama ini. Bukan sekejap, tapi hampir 10 tahun lamanya. Masih setia berharap agar saya dapat kembali semula ke pangkuan awak. Saya tak tahu macam mana awak lalui hidup awak setiap hari. Entah apa yang sentiasa bermain dalam fikiran awak. Entah bagaimana awak teruskan kelangsungan hidup. Hairan saya,

Sementara saya, melalui hidup saya seperti mana manusia lain. Satu ketika saya bahagia bersama keluarga saya. Dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang, juga pandai menghormati kedua orang tua. Bersopan santun serta sentiasa menyayangi saya seadanya. Bahkan kami dikurniakan 3 orang cahaya mata hasil perkongsian nyawa.

INDAH HANYA PADA AWALNYA

Pada awal, semuanya bagaikan indah belaka. Namun, disebabkan usia yang masih muda membuatkan kami sentiasa melakukan tindakan terburu-buru. Tidak berfikiran rasional dalam mempertimbangkan satu-satu perkara. Beliau berada dalam tahap keegoan yang tersendiri. Sementara saya juga, sentiasa ada perkara yang mahu ditegakkan.

Andai perselisihan yang melibatkan orang luar, memang sedaya upaya mahu diminta penjelasan hari itu juga. Sebesar-besar hal sampailah sekecil-kecil, pasti ada sahaja perkara yang tidak kena. Ada masa ianya boleh ditimbang tara, ada masa pasti meletup jua gunung berapi yang dipendam maraknya dalam dasar hati. Mahu buktikan siapa betul siapa yang salah.

PERTEMUAN YANG TIDAK DIJANGKA

Sangkaan panas sampai ke petang, rupanya hujan dipertengahan. Hampir 2 tahun saya cuba memulihkan semula keadaan, namun respon buruk yang saya terima. Sudah tidak tertahan dengan sakitnya hati diperlakukan, saya nekad mahu mengambil kata putus yang satu. Akhirnya ikatan yang cuba ditaut kembali terlerai jua. Sedih rasa hati tak siapa yang tahu. Hanya pada Tuhan saya serahkan segala.

Membesarkan 3 orang anak secara sendirian pastinya tidak mudah bagi saya melaluinya. Ada sahaja rintangan, halangan dan cabaran yang datang tidak disangka-sangka. Namun perancangan Allah itu lebih baik. Tak sangka kita dipertemukan semula di dalam satu bidang pekerjaan yang sama. Awak masih seperti dulu. Tak pernah pun berubah.

PENANTIAN YANG ULUNG

Saya bagaikan tidak percaya, rupanya awak masih terkesan dengan perpisahan kita satu ketika dulu. Awak tau saya tiada kekuatan bagi menghalang perancangan yang telah diaturkan oleh keluarga. Walau sebesar mana cinta kita pada ketika itu, tapi saya sudah buat semampu yang terdaya. Saya tau awak juga begitu. Awak bukan lah seorang yang mudah berputus asa.

Tapi itulah, bak kata orang yang lama, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Rupanya pertemuan semula itu, menerbitkan rasa cinta kita sama seperti dulu-dulu. Saya ingat lagi waktu mana saya nampak awak selepas 10 tahun, betapa terujanya awak. Awak masih ingat yang warna ungu adalah kegemaran saya.

MASIH SAMA SEPERTI DULU

Andai memegang gelas yang sejuk, awak tak lupa untuk sediakan tisu sebab awak tau tangan saya tidak boleh kesejukan terlalu lama, nanti naik gatal dan kemerah-merahan. Allahu, awak betul buatkan jantung saya berdegup kencang kembali. Saya mula bersemangat untuk meneruskan kehidupan yang indah ini walau sudah dilanda kekecewaan yang melampau-lampau.

Awak juga tak kekok ketika mana bersama dengan anak-anak saya. Awak layan mereka ibarat anak awak sendiri. Saya tahu anak-anak saya susah untuk nak bermesra dengan orang lain. Namun melihatkan kegembiraan diwajah mereka, saya sedar mereka juga perlukan kasih sayang seorang ayah, membesar seperti kanak-kanak yang lain. Saya pasti dengan keputusan saya.

HINGGA SAMPAI AKHIR HAYAT

Alhamdulillah, hari ini, akhirnya kita di ijabkabul kan juga. Kesabaran awak selama ini memang saya hargai sampai ke akhir hayat saya. Saya nak awak tahu, ketika mana saya serahkan cinta dan raga saya kepada awak, saya benar-benar bermaksud menyerahkan segalanya pada takdir Yang Maha Esa. Terimalah saya sebagai isteri awak seadanya. Bimbinglah saya ke jalan yang diredhai agama.

Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan. Bawalah saya bersama awak ke syurga Allah yang penuh dengan rahmat dan kebaikan yang telah Dia janjikan. Pimpinlah tangan saya andai saya tersalah arah. Jangan pernah sekali-kali tinggalkan saya. Allahuakbar. Berkatilah hubungan kami ini, aku hanya ingin bersama dia, hanya bersama dia Ya Allah. Lindungilah keluarga kami dari segala bahaya dan bencana.

Hanya kepadaMu aku memohon pertolongan. Azra Renjana, saya nak awak tahu, saya sayang awak kini dan selama-selamanya.

Yang Benar,
Isterimu Dian Melissa,

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge