REZEKI ORANG LAIN-LAIN

Merenungi-sikap-manusia

Bila hari sudah gelap, aku suka melihat bintang di langit. Menenangkan dan sungguh mendamaikan. Walaupun hari yang aku lalui pada siangnya sangat letih dan penat disebabkan aktiviti fizikal seharian, tapi bila melihat gugusan bintang berkerlipan di langit, seakan satu terapi yang membuatkan aku khayal dalam lamunan.

Adakala kedudukan yang tersusun bercantum seperti mengukir satu lakaran yang telah aku tafsir mengikut andaian aku sendiri. Sukar sebenarnya hendak diluahkan dengan kata-kata. Mungkin hanya aku yang sebenarnya sedang bermain-main dengan perasaan akibat daripada pengalaman hidup yang dilalui setiap hari.

BERADA DI PUNCAK

Aku faham benar kebanyakan manusia hanya menilai daripada luaran sahaja. Mereka menyangkakan apa yang telah dikecapi oleh seseorang itu adalah tuah semata-mata. Bergolek dan terus bergolek menerobos masuk ke dalam kehidupan sang manusia yang hanya duduk termangu dipuncak menantikan hasil yang mencurah.

Sambil menggoyangkan kaki yang berkasutkan permata dan tersenyum lebar memungut, menuai satu-satu dengan gembira dan rasa lapang yang mengujakan. Bahkan kelihatan mungkin seakan sedang bermegah yang membuatkan berasa benci pabila melihat. Aku tak tahu apa sebenarnya yang sedang bermain di kotak hatinya.

KEPERITAN HIDUP

Namun mungkin tak pernah perasan atau tak pernah tahupun yang sebenarnya orang itu, ya orang itu, entah yang keberapa juta kali menitiskan air mata hanya untuk melangsungkan hayat hidup yang mungkin satu ketikanya seperti dirasakan sia-sia. Hanya mahu meneruskan sahaja tanpa tahu apa yang bakal berlaku pada keesokan hari.

Dipijak, dipalu, dipulau dan diherdik seakan sudah sebati dengan darah dan daging. Mampu merelakan diri disepak dan dimalu dengan harapan semuanya berakhir dengan segera. Mungkin cuma mengharapkan sekelumit belas ihsan sahaja yang tinggal bagi menutup luka hati yang tergores hina.

MASIH UTUHKAH PEGANGAN

Biarlah beliau meraikan apa yang telah dikecapi kini. Dugaan dan pengorbanan yang telah diharungi itu, barang kali jika terkena pada tubuh sendiri mungkin tidak mampu pun untuk menangkis apa lagi cuba melawannya. Siapa diri mahu menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh orang lain dapat.

Jaga sahaja hubungan dengan Maha Pencipta. Mohonlah pertolongan agar dipermudahkan pula liku-liku jalan yang sedang dilalui ini. Mungkin satu hari, berkat kesabaran dan sentiasa patuh pada perintah Yang Maha Satu, tiba saat dan giliran, kita pula yang meraikan dan mencipta fenomena. Pada saat itu, masih lagi mahu bersyukur atau sudah lupa asal usul? Tanya sama iman dan amal.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge