SEANDAINYA MEREKA TAHU

Kerja-tanpa-penat

Biasalah kadang orang luar sukar sebenarnya nak memahami apa yang sedang kita lalui sekarang ini. Mungkin bagi pandangan mata mereka, sebenarnya sesuatu usaha yang sedang kita lakukan nampak seperti menguntungkan satu pihak sahaja. Kita yang berhempas pulas berpenat lelah, orang lain yang menuai hasil.

Tanggapan dan presepsi yang dilontarkan itu sebenarnya diutarakan hanya dinilai daripada pandangan luaran. Sudut mata kasar tidak bisa membaca apatah lagi mendalami sesuatu yang bukan datang daripada latar belakang yang sama. Penilaian itu dibuat secara semberono tanpa mengetahui ada perkara lain yang tidak disingkap dengan lebih jelas.

BUKAN SALAH MEREKA

Namun tidak juga boleh disalahkan andai apa yang mereka fikirkan tak sama seperti apa yang kita fikir. Mungkin sejarah silam yang telah dilalui membuatkan keyakinan terhadap apa yang sedang dilakukan kini dianggap ibarat melepaskan batuk di tangga. Jadi, jadi lah. Tak jadi, cuba pula peluang yang lain.

Tanggapan dan pemikiran orang adalah luar daripada kawalan kita. Selagi ianya tidak menjatuhkan maruah dan air muka keluarga itu sudah memadai. Namun andai garisan yang telah dihadkan batas itu dilanggar secara membuta tuli, mungkin tahap kesabaran harus diletakkan pada tingkat paling tinggi, setinggi yang boleh.

TAHU ARAH DAN TUJUAN

Kita harus sentiasa berpegang pada prinsip dan jangan pernah sekali-kali terikut dan tersentak dengan gerakan dakyah yang tanpa sedar sedang cuba menarik semula ke dalam kantung persembunyian suatu masa dahulu. Tetap yakin dan berpegang teguh dengan apa yang sedang diusahakan.

Apa sahaja kejayaan kecil mahupun besar yang telah diperolehi haruslah sentiasa disyukuri selalu. Fasa perubahan yang dilalui hanya kita seorang sahaja yang tahu sama ada ianya makin ke depan atau mundur setapak demi setapak kebelakang semula. Jika jalan kejayaan memang sudah terpampang didepan mata, sabar sahaja menepis sedikit duri yang masih bersisa.

SEMOGA SENTIASA DALAM RAHMAT ALLAH

Terus dan terus melangkah tanpa mempedulikan cakap-cakap yang kurang enak didengar di telinga. Mungkin cuma mahu menunjukkan keprihatinan jadi tidak perlulah sampai berbekas di dalam hati. Ambil sesuatu perkara yang baik itu sebagai salah satu proses pembelajaran, yang hitam itu letak sahaja ditepi dan tak perlu diendahkan.

Hanya kita yang tahu apa yang kita sedang lakukan. Selalu dan sentiasa jadikan menuntut ilmu itu sebagai rutin harian. Beruntunglah sebenarnya berada di platform yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang lumayan malahan mampu mengubah cara berfikir dan memberikan kesedaran betapa kehidupan di dunia itu penting, namun kehidupan di alam akhirat itu lebih terutama.

Dan beruntunglah mereka yang berjaya memiliki syurga Allah SWT itu. Moga kita semua dihimpunkan bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin ya rabbal aalamin.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge