SEMANGAT JITU

Anak-tidur

Melihatkan wajah anak-anak, sentiasa buatkan aku berazam bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik demi mereka. Sejak dari mereka lahir, hinggalah mereka membesar seperti sekarang, aku rasakan hidup ini begitu indah dengan kehadiran permata ku.

Gelak tawa mereka bagaikan ubat yang paling mujarab ketika aku sedang mengalami keresahan dan kegusaran. Ada kalanya aku sendiri tidak faham dengan keadaan yang sedang berlaku di sekeliling, dan aku seperti tiada jalan penyelesaian bagi satu-satu perkara tersebut.

BERTAHAN

Bila merasakan perkara yang sama dilakukan berulang-ulang kali, aku dapat rasakan diri terlalu berat untuk menerima banyak hal dalam satu-satu masa. Ada tenaga-tenaga negatif yang paling dibenci oleh semua manusia mula menghinggap dan cuba merampas ketenangan.

Mujur senyuman anak-anak itu berjaya memerangkap aura yang cuba menyelubungi ke dalam sanubari hati yang lemah imannya ini. Perlahan-lahan aku bangun menyedari bahawa tujuan asal aku dilahirkan ke atas muka bumi ini adalah untuk menjadi seorang khalifah yang memimpin mereka yang berada dekat bersamaku.

SEDAR SEGERA

Amanah yang dipertanggung jawabkan ini pastinya bukan suatu tugas mudah untuk dilaksanakan. Semakin hari akan semakin banyak cabaran baru yang aku perlu bersemuka secara berdepan sama ada aku telah bersedia mahupun tidak. Sama ada kuda-kuda sudah dipasang, ataupun masih lena buai mimpi, pasti ianya akan datang menerjah.

Bukan masanya untuk mengenang perkara silam yang telah terjadi. Kenyataan yang sedang berlaku sekarang adalah realiti sebenar yang perlu dihadap. Impian masa akan datang adalah pokok pangkal dalam menentukan hala tuju dan matlamat dalam mendapatkan redha Ilahi.

KEKAL FOKUS

Asahkan pisau sebaik-baiknya sehingga peringkat yang paling tajam sekali. Pekakkan telinga dengan apa saja yang terjadi. Padukan otot mental sepadat-padatnya. Minta nasihat dengan sahabat taulan dan rakan handai bagi menaikkan semula semangat yang kadang kala mudah luntur. Pasti mereka boleh memahami keadaan yang sedang berlaku.

Bila keadaan menekan, ingat kembali dimana dan kenapa kita bermula. Pasti dengan keazaman yang tinggi, semangat juang yang tidak pernah mahu putus asa, segala impian dan harapan akan dimakbulkan. Hanya masa yang boleh menentukan. Jika bukan disini, pasti di dunia sana pula. Dan pengakhiran yang baik, hanyalah bagi orang-orang yang bertawakal dan berserah diri bulat-bulat pada Yang Esa.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge