SIKIT-SIKIT NGANTUK

Pekerja-pro

Bila aku ditugaskan oleh majikan untuk bertemu dengan bakal prospek nun jauh di utara tanah air, mula lah aku hilang arah dan gelisah. Nak menolak kerja yang diberikan nanti tak pasal-pasal kena marah. Bila melawan kata nanti dituduh sebagai pekerja yang tidak beretika.

Bukan kerja aku sebenarnya nak kena berjumpa dengan pelanggan sampai jauh-jauh macam ini. Kerja-kerja ‘outstation’ sepatutnya kena lah bagi dekat staf-staf yang lain. Aku ada banyak kerja lagi yang nak kena buat dipejabat. Itulah susahnya bila dah jadi pekerja harapan kepada syarikat. Semua kerja letak atas bahu aku.

PEKERJA CONTOH

Aku bukanlah nak mengeluh bila dah dapat ‘job’. Aku tau tugas bertemu pelanggan ni sememangnya menjanjikan lebihan gaji yang lumayan. Syarikat juga tidak mahu bakal prospek terlepas kepada syarikat pesaing yang lain. Sebab tu aku sahaja yang boleh melaksanakan tugas ini supaya semuanya berjalan dengan lancar dan sukses.

Jika tugas yang sebegini mencabar diberikan kepada budak-budak baru nak ‘up’, ada kemungkinan besar yang syarikat akan menghadapi masalah di kemudian hari apabila persetujuan telah tercapai. Mungkin akan ada beberapa perkara yang terlepas pandang dalam proses untuk mencapai persetujuan dan mendatangkan kemudaratan kepada kedua-dua belah pihak.

MATA BERAT

Menjadi masalah besar bagi aku pula, bila memandu kenderaan dalam jarak perjalanan yang memakan lebih kurang 537 kilometer ini, aku akan cepat mengantuk dan hilang fokus. Memandu sehingga 6-7 jam lamanya akan membuatkan aku berasa penat dan badan menjadi lesu.

Jangan kata 6-7 jam, baru sahaja satu jam setengah pemanduan aku dah mula menguap dan mengantuk macam orang tak cukup tidur 3 hari. Punya lah lebar mulut ternganga sampai kan kalau diukur rasanya 13 ekor lalat juga lah boleh sekali masuk. Bahagian mengantuk ini memang aku paling lemah sekali.

NASIHAT SIFU

Aku pun minta la nasihat dengan kawan-kawan aku yang bekerja dengan syarikat teksi. Mereka ini memang pakar dalam pemanduan kerana masa mereka memang banyak dihabiskan dalam kereta. Jadi mereka dah banyak pengalaman bagaimana nak mengatasi masalah mengantuk ketika memandu ini.

Salah satu yang aku amalkan daripada apa yang mereka ajar ialah, bila kita dah mula ada tanda-tanda letih dan mata pun semakin kuyu, cepat-cepat hidupkan lagu yang rancak-rancak supaya kita akan waspada balik dengan pemanduan. Lepas tu kena siram muka dengan air supaya kita akan cepat segar balik.

TEKNIK MUJARAB

Kadang-kadang bila nak siram air ke muka dengan air botol minuman tu akan menyebabkan baju basah. Silap-silap kereta pun boleh lencun kalau tak kena cara. Jadi mereka ajar, sebelum nak mulakan pemanduan, beli satu spray yang digunakan oleh tukang gunting rambut sama macam kat kedai mereka itu.

Kemudian isi air siap-siap dalam bekas spray tersebut dan terus ‘target’kan ke muka. Bila guna spray ini air akan lebih tepat ke muka dan takkan terkena tumpah sebab bukaan spray tersebut boleh laras mengikut kesesuaian yang kita mahu. Muka yang masih basah tu terus halakan ke bahagian ‘blower aircond’ kereta dan secara tak sedar akan kembali segar bugar.

R N R

Alhamdulillah bila aku dah amalkan ajaran baru mereka memang aku dapat rasakan perbezaan yang ketara. Kekerapan mengantuk yang aku rasakan sudah semakin berkurang daripada sebelum-sebelum ini. Namun kalau dah tak tahan juga tu aku takkan paksa. Cari juga lah hentian rehat dan rawat yang terdekat. Tutup enjin dan buka sedikit tingkap lalu tidur lah seketika.

Dapat tidur dalam 10 minit pun dah cukup untuk teruskan balik perjalanan. Apa yang penting sentiasa berwaspada ketika memandu dan amalkan prinsip K.M.T.K. Kalau Mengantuk Tidur Kejap.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge