Warkah cinta buat sang putera

Kasih-ayah-setia-selamanya

Nak, kau anak sulung babah. Depan mata babah tengok kau lahir keluar daripada rahim mummy. Walaupun babah tak boleh nak rasa kesakitan yang mummy nak kena tanggung semata-mata nak melahirkan kau, tapi babah boleh tau kesengsaraan yang mummy terpaksa harung.

Sembilan bulan nak mummy mengandungkan kau. Daripada start awal pregnant dulu mummy kau alahan teruk. Baring tak boleh, berdiri tak boleh. Muntah lagi tak berhenti-henti. Sampai dah naik pucat lesi babah tengok mummy kau masa tu.

Itu belum lagi fasa masa melahirkan kau. Bermatian-matian mummy nak meneran supaya kau lahir dengan selamat. Babah ada sebelah mummy masa itu waktu kau lahir. Hijau-hijau lagi babah dah azan kan kau kat telinga masa dalam bilik bersalin.

Tak cukup dengan tu, kau kena tahan balik lepas 2 hari kau lahir sebab kau kena kuning. Menangis-nangis mummy kau sebab tengok kau kena telanjang dan terpaksa tidur dalam wad tu tak boleh nak tengok kau langsung. Mummy kau nak susukan kau pun tak boleh.

Kena berani berdepan dengan kesusahan

Masa babah menulis artikel ini, umur kau baru masuk 5 tahun. Kau dah mula sekolah tadika. Masa ini kitorang dah mula kena berenggang masa dengan kau tak boleh ada dengan kau hari-hari dah macam dulu. Padahal daripada kau kecil kitorang bawa kau ke hulu ke hilir pergi berniaga.

Kau mungkin tak ingat kot, masa kecil kitorang bawa kau meniaga daripada pagi sampai malam. Masa tu mummy dengan babah meniaga makan. Apa je yang kitorang tak jual.

Nasi lemak, nasi kuning, goreng pisang cheese, kepak ayam, chakoi macam-macam lagi lah. Semua benda kitorang buat supaya nak teruskan kehidupan kita anak beranak. Babah pilih untuk nak berniaga makan pun sebab babah fikir bila niaga makan mesti hari-hari kita dapat makan.

Tapi tu tak kira lagi masa lauk semua tak habis. Pernah sekali mummy tengah tolak stroller, penuh dengan lauk tak laku. Sekali sebab naik bukit, tak perasan stroller tu dah senget. Habis jatuh semua makanan dan lauk yang tak habis tu. Kami sabar je walau dugaan macam mana pun yang datang.

Timbalah ilmu sebanyak yang mungkin

Kau mungkin akan baca tulisan babah ini masa kau dah besar sikit. Masa tu mungkin kau dah pandai baca. Tapi kau takkan boleh faham lagi apa yang babah cuba ceritakan ni. Yelah, waktu ini kau masih belajar lagi. Mungkin masih sekolah lagi.

Babah tak harapkan yang kau akan faham pun. Waktu ini adalah waktu terbaik untuk kau belajar, timba ilmu pengetahuan dan bergaul dengan ramai orang. Jangan sekali-kali sombong dengan sesiapa. Belajar macam mana nak bina hubungan dengan ramai orang. Ini perkara yang sangat penting.

Lepas tu kau kena fasih banyak bahasa. Kau tak boleh hanya setakat tahu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kita saja. Kau kena belajar lebih banyak bahasa supaya kau lebih mudah untuk orang dekati dan orang tertarik dengan kau.

Kuasai matematik dengan sangat baik supaya kau tak senang kena tipu dengan orang. Lepas tu kau kena belajar macam mana nak bercakap depan orang ramai. Kau percayalah cakap babah ini kalau kau nak sukses dalam hidup kau.

Jangan lari daripada masalah

Babah rasa kau akan faham apa yang babah cuba sampaikan ni nanti bila kau dah berkahwin dan kau pula dah anak kau sendiri. Masa ini kau akan rasa macam mana perasaan yang babah tengah rasa sekarang. Kau jangan takut andai kata banyak perkara yang kau tak jangka akan berlaku dalam hidup kau bila kau dah kahwin nanti.

Itu normal. Masa ini semua yang kau angan-angankan sebelum ini hanyalah kosong semata-mata. Bila kau dah berkahwin dan ada anak masa itu lah cabaran hidup kau sebenarnya sedang bermula.

Jangan cepat melatah dan jangan cepat lari daripada landasan. Kau kena bertenang sebab kau sekarang ni ketua keluarga. Bila kau tak tenang, nanti boleh bahayakan rumah tangga kau. Andai kata kalau ada perselisihan faham antara kau dan isteri kau nanti, kau kena cepat-cepat selesaikan.

Jangan biarkan perkara tu bertangguh sebab nanti dia akan jadi parasit dalaman yang akan merosakkan kasih sayang korang. Kau kena banyak mengalah walaupun kau rasa pendapat kau betul. Ingat, orang tenang sentiasa menang. Cikgu babah selalu pesan dengan babah.

Sentiasa berpesan kepada kebaikan

Last sekali kau kena sentiasa ingat yang kita hidup atas muka bumi ini tak lama. Apa saja perlakuan yang kita buat tak kira lah baik ke, buruk ke semuanya akan dinilai nanti Kat akhirat.

Kau kena sentiasa jaga amalan kau. Solat 5 waktu yang wajib tu dah tentu-tentu kau jangan tinggalkan. Kau kena konsisten kan pula solat berjemaah. Jangan skip baca Al-Quran setiap hari sebab Quran ni akan jadi penerang masa kita dekat alam kubur nanti.

Babah bukanlah seorang ayah yang baik, jauh sekali untuk jadi yang sempurna. Babah minta maaf kalau tak dapat jadi seorang ayah yang hebat untuk kau nak. Tapi babah nak kau tau, setiap hari setiap masa tak pernah walau sekalipun babah tak fikirkan tentang kau.

Babah usaha juga untuk bagi yang terbaik kat kau supaya kau boleh membesar jadi seorang yang berguna untuk agama dan bangsa. Jadilah seorang yang boleh memberikan inspirasi dan manfaat dekat orang lain ya nak.

Babah doakan semoga kehidupan kau berjaya dunia akhirat amin ya rabbal aalamin.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Reader Interactions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge